beluncas...

"Kita ibarat beluncas yang memanjat dan mencari tapak membuat kepompong. Pilihlah pucuk tertinggi dan ranting terbaik agar kelak menjadi rama-rama yang megah mengibar sayap dari puncak paling gemilang" Anang Adiwarni, 2003

Nama:
Lokasi: Sheffield, England, United Kingdom

An Orion in equatorial regions. Anang Adiwarni is my nickname, a memorial and tribute to my mom.


Muthanna

Ceritalah


Selasa, Mei 17, 2011

Pendeta Guru?

Pangkat baru 'Pendeta Guru' dan 'Guru Wibawa' ?

Pabila pendeta kau buat pangkat
Dan pada umurlah yang hanya kau sukat
Maka yang kerdil akan diangkat
Terbiarlah ilmuwan sebenar berdarjat

Pabila wibawa disalah erti
Terampil semata dianggap bukti
Ikhlasnya bakti dan tinggi pekerti
Wibawa ilmu terbiarlah mati

Selamat Hari Guru 2011

Selasa, April 22, 2008

Ruang yang sepi

Tiada lagi orang bermadah
memberi khabar membawa kisah
Tiada lagi lontaran hikmah
bicara lidah akal yang petah
Tiada lagi orang bertitah
mengacu segala silap dan salah
Tiada lagi orang mencelah
dengan bicara kata sepatah
Tiada lagi hikayat padah
untuk kami rindukan sejadah
Tiada lagi ayat risalah
hilang dari minbar tazkirah
Tiada lagi orang berbetah
mengunjur usul mengujar hujah
Tiada lagi orang menjerkah
meminta kami hentikan telagah
Tiada lagi orang mengacah
mencuit hati mengubat gundah
Tiada lagi tawa berdekah
riang merai aneka telatah
Semua kini terkelu lidah
Ruang ini sunyilah sudah...

Apr 14, 08

Ahad, Disember 02, 2007

Kahwin aje lah...

Hujan rintik-rintik
Bayu dingin-dingin
Kenang pada detik
Siul pada angin

Awan bondong-bondong
Bagai kain carik
Langit kian mendung
Rindu panas terik

Bayu sepoi-sepoi
Gugur daun kering
Resah tak didodoi
Tidur tak dibaring

Langit malu-malu
Biru-biru pudar
Alam jadi kelu
Dalam pagi segar

Kapal terbang lalu
Timbul garis runut
Hati kian pilu
Timbul guris parut

Runut panjang-panjang
Tuju satu arah
Lama hidup bujang
Kalbu makin parah

Runut lurus-lurus
Jadi makin lebar
Hidup tak terurus
Jadi makin hambar

Angin tiup-tiup
elus-elus pipi
Wajah sayup-sayup
Hadir dalam mimpi

Rumpun-rumpun ceri
Warna lain-lain
Tekun-tekun cari
Jangan main-main


Anang Adiwarni
Sheffield, South Yorkshire, United Kingdom
1.20pm. 22 Dzul Qa'idah 1428 / 2 Disember 2007

Khas buat kawan-kawan yang teringin sangat nak kahwin. Cheers~

Rabu, Januari 31, 2007

Indah


Melayu seninya mengunjur nasihat,
Sastera bersulam kias yang dalam,
Lagu dan rentaknya tercatur dek adat,
Syahdu bak alam di hening malam.

Jumaat, Januari 26, 2007

Blues Tahun Baru

Raja sehari jadi bualan,
Gadis berlenggang jua dipandang,
Masa berlari aku berjalan,
Mimpi sekangkang jadi sebendang.


Tasik dan paya di kaki rabung,
Lumut menyalut dedahan reput,
Mengidam cahaya di puncak gunung,
Tapi mengesot seperti siput.


Mana si Bujang tak nampak kelibat,
Dengan bersampan sudah berangkat,
Janggut dah panjang misai dah lebat,
Masih menyimpan akal yang singkat?


Di kanan orang di kiri orang,
Rupawan mana lurus terdidik?
Di hulu jurang di hilir karang,
Haluan mana harus kumudik?


Ilmu dicurah hikmah membanjir,
Sekuntum budi mekar di dasar,
Kaki melangkah jadi muhajir,
Siapa yang sudi menjadi Ansar?



Salam 1428 Hijrah.

Sabtu, November 19, 2005

prelude

A diminished D chord
in this dull waltz
streaming in adagio rivers
melancholic in some quavers
though tormenting with jubilant stigmata
yet existence is a wonderful sonata;
a lullaby by the loving mother nature
a masterpiece of the invisible composer.
And in this nocturnal seclusion,
through the beats from distant pulsars,
and by the roars of raging quasars,
see me in the eyes of tomorrow's children
and in the womb of yesterday's maiden.
And in this tarnished present
with all the hopes absent
from the strings and keys of the echoing subsets
of yesteryears' haunting minims and crotchets;
life is still the embracing love
of the warm and tender mother nature
and the omniscient father-composer.
But still,
I am waiting in these tears
and writing without those fears;
an etude for the children which I could share
the maudlin schmaltz for this solitary wayfare...


"Human beings, vegetables, or cosmic dust, we all dance to a mysterious tune, intoned in the distance by an invisible player"
Albert Einstein

Khamis, Ogos 18, 2005

Anak kecil itu


Anak kecil itu jauh bermenung
Rindu dan sendu berbaur dalam keliru
Didongaknya ke langit kehidupan yang tak berbumbung
Menyaksikan angkasa senja yang tak lagi biru

Anak kecil itu terus termenung
Melambai ayah yang pergi bertongkat senapang
Sesekali peluru mereka hinggap ke jantung
Lastik dan batu gugur dari tangan abang

Anak kecil itu tersedu dan pilu
Melihat darah dan air mata ibu mengalir satu
Wajah indah kakak yang dulu berhijab kain bulu
Kaku bersama mekar maruah yang dipaksa layu

Anak kecil itu terpana dan kelu
Mendengar rintih syurga binaan ayah ibu
Mengaduh oleh ledakan dendam amarah
Bermuntah cebisan Quran dalam debu dinding pecah

Anak kecil itu merengek kelaparan
Kempunankan susu kasih dan bubur kemanusiaan
Belum mampu dia tahu nun jauh ratusan batu
Saudara seumur seagamanya menghirup nikmat seribu

Anak kecil itu lalu diam pucat lesi
Memikir di mana ada hati berjanji simpati
Akal kecilnya belum tersedak pedas konspirasi
Mata mungilnya belum ternampak agenda keji

Anak kecil itu kembali sunyi dalam renungan
Belumpun dia petah bicara persaudaraan iman
Tak sempat dia faham falsafah hidup dan kematian
Mereka lempari rohnya kembali ke laman Tuhan

Anak kecil itu kini tenang dalam penantian
Ditemani taman indah dan syahdunya bayangan pertemuan
Ayah, ibu, kakak dan abang bakal tiba setelah kebangkitan
Buat mengecap janji kemanisan di hujung segala kepahitan