beluncas...

"Kita ibarat beluncas yang memanjat dan mencari tapak membuat kepompong. Pilihlah pucuk tertinggi dan ranting terbaik agar kelak menjadi rama-rama yang megah mengibar sayap dari puncak paling gemilang" Anang Adiwarni, 2003

Nama:
Lokasi: Sheffield, England, United Kingdom

An Orion in equatorial regions. Anang Adiwarni is my nickname, a memorial and tribute to my mom.


Muthanna

Ceritalah


Rabu, Jun 29, 2005

Aku tidak pulang

malam langit menangis
membisik nyanyi rintih rintik sunyi
dan harmoni desis bayu pada dedaun kayu
awanan ruang sesekali berpijar
dengan sinar hati halilintar
pentas minda sekali lagi berpinar
mabuk dalam ayunan dan alunan
getar suara opera hati menjerit
menjemput jemari yang menari
mengiring rentak hentak kaki
pada pasir dan desir pesisir
di daerah aku terpinggir

kurenung wajah langit menangis
di mana matamu tidak mengambang malam ini?
perlihatkanku mata berkacamu
agar bisa kucerminkan wajahku
masihkah terpancar wibawa
seorang wira dalam kembara
yang kononnya merantau mencari cahaya?

tadi baru aku adukan pada langit
dalam wajah wilis dan kirmizinya
jua pada santai kumulus senja
agar jangan kau anyam
corak-corak bunga layu itu
pada selendang rinduku
kerana warna hitam inilah pilihanku
telah kulunturkan merah darahku
lalu sengaja kutumpahkan
pada tanah sejarah, tempat ibuku diarwah
pada lurah disumpah, jiwa ayahku dilapah
pada celah-celah rekah, sukma dara berjiwa mentah
yang dicarik-carik, dicakar-cakar
puaka berhias wajah indah

gema silam itu memakuku pada teleku tak sudah
setelah degup jantungku mengusir kakiku sendiri
biar dikelar berbagai gelar
namun aku bukan daging ratah
walau bunga-bunga itu layu
walau kering dedaun kayu
namun hitam selendangku
sebati dengan warna darahku

sungai masa itu terlalu sayup pada hulunya
membuat aku terlupa arus manakah
yang menghilirkan jasadku ke muara ini
memang aku tidak lagi memekik jerit cengkerik hutan
cuma kumahu tahu angin masin di hadapan
menjanjikan samudera impian
bila camar mengibar gebar sisa usiaku
akanku bisa beradu di atas bayu

lalu, aku tidak pulang...

7 Comments:

Blogger Anang Adiwarni said...

huhue tolong rakam la.. kalo kantoi ko tanggung yer. dah rakam pos kat aku.
bayaran: GBP 0.00 ok?

Jumaat, Julai 01, 2005 7:34:00 PTG  
Blogger ihsanhassan said...

beautiful metaphors and similes.

Isnin, Julai 04, 2005 3:57:00 PTG  
Blogger Anang Adiwarni said...

terima kasih

Jumaat, Julai 22, 2005 10:37:00 PTG  
Blogger sa'a said...

apakah ertinya sebuah kepulangan?

Rabu, Julai 27, 2005 3:25:00 PG  
Blogger Anang Adiwarni said...

tanyalah pada puing2 pasir dan dedaun kering yang hanyut dari hulu..

Rabu, Julai 27, 2005 10:56:00 PTG  
Blogger diana said...

whoaww tere nya BM anda..

Isnin, Ogos 15, 2005 1:45:00 PTG  
Blogger Anang Adiwarni said...

terima kasih, namun hamba masih tetap penghuni kerdil benua seni.

Khamis, Ogos 18, 2005 3:37:00 PG  

Catat Ulasan

<< Home