beluncas...

"Kita ibarat beluncas yang memanjat dan mencari tapak membuat kepompong. Pilihlah pucuk tertinggi dan ranting terbaik agar kelak menjadi rama-rama yang megah mengibar sayap dari puncak paling gemilang" Anang Adiwarni, 2003

Nama:
Lokasi: Sheffield, England, United Kingdom

An Orion in equatorial regions. Anang Adiwarni is my nickname, a memorial and tribute to my mom.


Muthanna

Ceritalah


Jumaat, Januari 26, 2007

Blues Tahun Baru

Raja sehari jadi bualan,
Gadis berlenggang jua dipandang,
Masa berlari aku berjalan,
Mimpi sekangkang jadi sebendang.


Tasik dan paya di kaki rabung,
Lumut menyalut dedahan reput,
Mengidam cahaya di puncak gunung,
Tapi mengesot seperti siput.


Mana si Bujang tak nampak kelibat,
Dengan bersampan sudah berangkat,
Janggut dah panjang misai dah lebat,
Masih menyimpan akal yang singkat?


Di kanan orang di kiri orang,
Rupawan mana lurus terdidik?
Di hulu jurang di hilir karang,
Haluan mana harus kumudik?


Ilmu dicurah hikmah membanjir,
Sekuntum budi mekar di dasar,
Kaki melangkah jadi muhajir,
Siapa yang sudi menjadi Ansar?



Salam 1428 Hijrah.

4 Comments:

Anonymous Tanpa Nama said...

Mudiklah ke hilir ke pantai
Carilah bahtera kukuh nan gagah
Layarlah ke samudera luas
Selamlah lautan dalam
Carilah mutiara manikam
Lalu kembalilah ke hulu asalmu
Bersama permata pengalamanmu

Kala taufan mengganas
Kala alam hitam pekat meliputi
Kala inderamu terencat
Usahlah melihat dirimu siput
mahupun katak di telaga tertutup
mengimpi mutiara bercahaya?

Jikalau sedemikian besar hajatmu tuan
Gelora setinggi gunung pun kan jadi teman
Berpetakan bintang berkerdipan
Mengurus pengembalianmu ke pantai salam
Bersama ombak tenang kala mentari terbenam
Cahaya di gunung itu yg kau cari?
Cahaya mentari permai itu jualah
Sinarnya tetap sampai, walaupun di tepi pantai...

Maafkan
kalimahku kurang enak
bahasaku kurang seni
kiasku kurang dalam

Rabu, Februari 07, 2007 6:35:00 PTG  
Blogger Anang Adiwarni said...

Bahaya bukan sebarang bahaya,
Langit retak bumi binasa,
Cahaya bukan sebarang cahaya,
Kerdip Al-Haqq di mata Musa.

Renung bukan sebarang renung,
Mencari maksud alam saujana,
Gunung bukan sebarang gunung,
Hati Ibrahim tenang di sana.

Orang lelaki memberi salam,
Nak dara sunti menepis cinta,
Hamba mendaki tuan menyelam,
Di pantai nanti bertemulah kita.

Dari hulu di puncak sana,
Kususur sungai mencari muara,
Membawa kiasan yang bijaksana,
Hikmah dan damai meniti suara.

Tuan hamba yang mulia,
Doakan hamba bertemu cahaya.

Ahad, Februari 11, 2007 12:12:00 PG  
Anonymous Tanpa Nama said...

Daunan pohon luruh dipijak
Tuan berpantun hamba bersajak

Dunia kelam kalut meliputi
Manusia alpa serba tak pasti
Di kelam malam hamba berdiri
Meminta cahaya dari Rabbi
Buat diri dan teman sepencari

Selasa, Februari 13, 2007 12:31:00 PTG  
Blogger Anang Adiwarni said...

Moga Allah memberi ridha,
Jazakallah khairan kathira...

Isnin, Februari 19, 2007 12:40:00 PTG  

Catat Ulasan

<< Home