beluncas...

"Kita ibarat beluncas yang memanjat dan mencari tapak membuat kepompong. Pilihlah pucuk tertinggi dan ranting terbaik agar kelak menjadi rama-rama yang megah mengibar sayap dari puncak paling gemilang" Anang Adiwarni, 2003

Nama:
Lokasi: Sheffield, England, United Kingdom

An Orion in equatorial regions. Anang Adiwarni is my nickname, a memorial and tribute to my mom.


Muthanna

Ceritalah


Khamis, September 13, 2012

...


Tuhan,
Tatkala aku mendambakan guru yang menunjukkan jalan,
Kau hadirkan pencinta ilmu yang mengharapkan tauladan
Kau menyindirku bila Kau campakkan rasa ingin membimbing,
sedangkan Kau lebih tahu diriku sendiri terumbang ambing

Tuhan,

Ketika dadaku sesak dan mengharapkan sekerdip cahaya,
hairan, nafsuku marak membutakanku daripada bahaya
Sering aku berangan mencicip seteguk Kawthar Rasul-Mu,
walhal lidahku lancang semacam ingin menjilat Zaqqum-Mu

Tuhan,

Lantaran Kau tahu tentang diriku lebih dari yang kufahami,
kenalkanlah aku akan diriku agar Kau dapat kukenali
Dan demi rahmat-Mu yang maha meliputi segala sesuatu
walau seisi alam dosaku, Tuhan, Kau ampunkanlah aku

***
Shah Alam 0300
26 Syawwal 1433
13 September 2012

Rabu, Februari 29, 2012

Gurindam Demam

Bila badan terasa sejuk
sendi dan tulang bagai dicucuk
otot bagai dicangkuk-cangkuk
mata pedih buat mengantuk
kepala berdenyut tersengguk-sengguk
tekak pun gatal asyik terbatuk,
baru terkenang dosa selubuk
juga pahala seberat habuk
barulah datang berkepuk-kepuk
rasa malu dan mahu tunduk
rindu pada sujud dan rukuk...

Anang Adiwarni
Demam pada tanggal 21 Disember 2010

Selasa, Mei 17, 2011

Pendeta Guru?

Pangkat baru 'Pendeta Guru' dan 'Guru Wibawa' ?

Pabila pendeta kau buat pangkat
Dan pada umurlah yang hanya kau sukat
Maka yang kerdil akan diangkat
Terbiarlah ilmuwan sebenar berdarjat

Pabila wibawa disalah erti
Terampil semata dianggap bukti
Ikhlasnya bakti dan tinggi pekerti
Wibawa ilmu terbiarlah mati

Selamat Hari Guru 2011

Selasa, April 22, 2008

Ruang yang sepi

Tiada lagi orang bermadah
memberi khabar membawa kisah
Tiada lagi lontaran hikmah
bicara lidah akal yang petah
Tiada lagi orang bertitah
mengacu segala silap dan salah
Tiada lagi orang mencelah
dengan bicara kata sepatah
Tiada lagi hikayat padah
untuk kami rindukan sejadah
Tiada lagi ayat risalah
hilang dari minbar tazkirah
Tiada lagi orang berbetah
mengunjur usul mengujar hujah
Tiada lagi orang menjerkah
meminta kami hentikan telagah
Tiada lagi orang mengacah
mencuit hati mengubat gundah
Tiada lagi tawa berdekah
riang merai aneka telatah
Semua kini terkelu lidah
Ruang ini sunyilah sudah...

Apr 14, 08

Ahad, Disember 02, 2007

Kahwin aje lah...

Hujan rintik-rintik
Bayu dingin-dingin
Kenang pada detik
Siul pada angin

Awan bondong-bondong
Bagai kain carik
Langit kian mendung
Rindu panas terik

Bayu sepoi-sepoi
Gugur daun kering
Resah tak didodoi
Tidur tak dibaring

Langit malu-malu
Biru-biru pudar
Alam jadi kelu
Dalam pagi segar

Kapal terbang lalu
Timbul garis runut
Hati kian pilu
Timbul guris parut

Runut panjang-panjang
Tuju satu arah
Lama hidup bujang
Kalbu makin parah

Runut lurus-lurus
Jadi makin lebar
Hidup tak terurus
Jadi makin hambar

Angin tiup-tiup
elus-elus pipi
Wajah sayup-sayup
Hadir dalam mimpi

Rumpun-rumpun ceri
Warna lain-lain
Tekun-tekun cari
Jangan main-main


Anang Adiwarni
Sheffield, South Yorkshire, United Kingdom
1.20pm. 22 Dzul Qa'idah 1428 / 2 Disember 2007

Khas buat kawan-kawan yang teringin sangat nak kahwin. Cheers~

Rabu, Januari 31, 2007

Indah


Melayu seninya mengunjur nasihat,
Sastera bersulam kias yang dalam,
Lagu dan rentaknya tercatur dek adat,
Syahdu bak alam di hening malam.

Jumaat, Januari 26, 2007

Blues Tahun Baru

Raja sehari jadi bualan,
Gadis berlenggang jua dipandang,
Masa berlari aku berjalan,
Mimpi sekangkang jadi sebendang.


Tasik dan paya di kaki rabung,
Lumut menyalut dedahan reput,
Mengidam cahaya di puncak gunung,
Tapi mengesot seperti siput.


Mana si Bujang tak nampak kelibat,
Dengan bersampan sudah berangkat,
Janggut dah panjang misai dah lebat,
Masih menyimpan akal yang singkat?


Di kanan orang di kiri orang,
Rupawan mana lurus terdidik?
Di hulu jurang di hilir karang,
Haluan mana harus kumudik?


Ilmu dicurah hikmah membanjir,
Sekuntum budi mekar di dasar,
Kaki melangkah jadi muhajir,
Siapa yang sudi menjadi Ansar?



Salam 1428 Hijrah.